Sejarah Bahagian Pencen
Penubuhan satu seksyen khas bagi menguruskan segala perkara berkaitan pengurusan pencen dan faedah yang berkaitan dicadangkan oleh Chawangan Analisa Pengurusan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam Laporan Ka-Atas Laporan Kajian Mengenai Sistem Pembayaran Penchen. Sebelum penubuhan Cawangan Penchen di JPA, undang-undang pencen negara ditadbir secara berasingan, antaranya Ordinan Penchen 1951 (Semenanjung Malaysia), Ordinan Penchen Sabah 1963 (Sabah) dan Ordinan Penchen Sarawak 1963 (Sarawak). Melalui Suruhanjaya DiRaja Suffian 1967, peruntukan undang-undang pencen di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diselaraskan di bawah Ordinan Penchen 1951. Pada ketika itu, Cawangan Penchen merupakan sebahagian daripada Bahagian Perkhidmatan.
Bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan pencen kakitangan awam, pada 9 Jun 1970, Cawangan Penchen, Bahagian Perkhidmatan, JPA dan Seksyen Penchen, Jabatan Audit Negara telah digabungkan menjadi Bahagian Pencen. Nama Bahagian Pencen telah bertukar kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan berikutan penstrukturan semula JPA pada 1 Jun 2008. 14 tahun dikenali dengan Bahagian Pasca Perkhidmatan, bahagian ini kembali bertukar kepada Bahagian Pencen pada tahun 2022.