Skip to main content

Skim Pencen - Pengenalan

Info Persaraan

PENGENALAN 

Skim Pencen Perkhidmatan Awam Di Malaysia
  1. Skim Pencen Perkhidmatan Awam merupakan salah satu skim yang ditawarkan kepada Pegawai Perkhidmatan Awam. Di antara faedah persaraan yang ditawarkan adalah pencen perkhidmatan, ganjaran perkhidmatan dan Gantian Cuti Rehat (GCR).  Skim Pencen ini diwujudkan sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap perkhidmatan pegawai perkhidmatan awam dengan penuh dedikasi, taat setia dan amanah.

  1. Selain itu, skim pencen  adalah satu jaminan saraan hidup kepada anggota-anggota yang telah bersara dari perkhidmatan Kerajaan selain pampasan kepada pegawai yang dikehendaki bersara atas sebab-sebab tertentu atau yang telah  meninggal dunia.

  1. Walau bagaimanapun, faedah persaraan bukan merupakan hak mutlak Pegawai Perkhidmatan Awam setelah bersara. Tiada seorang anggota pun yang boleh mempunyai hak mutlak untuk mendapat pampasan bagi perkhidmatan yang lepas atau untuk mendapat apa-apa pencen, ganjaran atau lain-lain faedah di bawah Akta Pencen [(Seksyen 3(1), Akta 227 atau Akta 239].

  1. Persaraan Perkhidmatan Awam boleh dibahagikan mengikut tiga (3) perkara utama seperti dinyatakan dalam carta perkhidmatan dan rajah berikut:

 

Skim Pencen Perkhidmatan Awam yang diuruskan oleh Bahagian Pencen, JPA adalah seperti berikut:

a. Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri 

Akta Yang Berkuatkuasa:

    • Akta Pencen 1980 (Akta 227)
b. Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan

Akta Yang Berkuatkuasa:

    • Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239)
c. Anggota Pentadbiran, Ahli Parlimen, Setiausaha Politik 

Akta Yang Berkuatkuasa:

    • Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237)
d. Hakim

Akta Yang Berkuatkuasa:

    • Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45)

 

Manakala skim pencen yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), ATM, Kementerian Pertahanan bagi:

a. Pegawai Tauliah Tetap, Tauliah Jangka Pendek dan Askar-Laskar Angkatan Tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Akta Yang Berkuatkuasa:

    • Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77)

Rujukan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Persaraan dan Faedah Persaraan Versi 1.0 (2022) (https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PPSM/PP/pencen/)