Skip to main content

Skim Pencen - Jenis Persaraan

Info Persaraan


A) Persaraan Paksa

Jenis-jenis Persaraan Paksa adalah seperti berikut:

  1. Kerana Mencapai Umur 55 Tahun/ 56 Tahun/ 58 Tahun/ 60 Tahun
    Pada hari seseorang anggota mencapai umur 55/56/58/60 tahun mengikut opsyen umur bersara yang dipilih (Subseksyen 10(1), Akta 227/ 239)

  2. Atas Sebab Kesihatan (ASK)
    Anggota yang kesihatannya tidak memuaskan boleh dibersarakan atas sebab kesihatan (Perenggan 10(5)(a), Akta 227/ 239)

  3. Kerana Jawatan Yang Dipegang Dihapuskan
    Jawatan yang disandangnya dihapuskan boleh dibersarakan dari perkhidmatan dan terus dibayar faedah persaraan (Perenggan 10(5)(b), Akta 227/ 239)

  4. Kerana Penyusunan Semula Organisasi
    Penyusunan semula organisasi bagi maksud menghasilkan lebih kecekapan dan terus dibayar faedah persaraan (Perenggan 10(5)(c), Akta 227/ 239)

  5. Kerana Pekerjaan Anggota Telah Ditamatkan Demi Kepentingan Awam Seseorang anggota telah ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam (Perenggan 10(5)(d), Akta 227/ 239)

  6. Kerana Memperoleh Kewarganegaraan Asing Atau Dilucutkan Kewarganegaraan Malaysia
    Anggota yang dibersarakan atas sebab ini tidak akan dibayar faedah persaraan (Perenggan 10(5)(e), Akta 227/ 239)

  7. Kerana Telah Memberi Maklumat Palsu Bagi Maksud Pelantikan Ke Dalam Perkhidmatan Awam
    Jika terbukti memberi maklumat secara palsu, silap, tidak tepat, tidak lengkap atau mengelirukan (Perenggan 10(5)(f), Akta 227/ 239)
B) Persaraan Pilihan

Persaraan Pilihan Di Bawah Seksyen 12 Akta 227 / 239

  • Anggota berpencen boleh memohon untuk bersara pilihan sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:
    1. telah disahkan dalam perkhidmatan dan diberi taraf berpencen (PTB);
    2. berumur genap 40 tahun dan ke atas pada tarikh persaraan pilihan;
    3. mempunyai tempoh perkhidmatan tidak kurang sepuluh (10) tahun yang boleh dimasuk kira;
    4. permohonan persaraan pilihan hendaklah oleh Ketua Jabatan;
    5. lulus tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
    6. bebas daripada sebarang siasatan/tindakan tatatertib/mahkamah; dan
    7. sekiranya mempunyai ikatan perjanjian penajaan pendidikan, hendaklah mendapatkan surat persetujuan daripada penaja pinjaman/biasiswa
      pendidikan terlebih dahulu.
  • Walau bagaimanapun, bagi melayakkan anggota menerima faedah persaraan mestilah memenuhi syarat-syarat di ATAS dan mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasuk kira tidak kurang daripada 10 tahun.

  • Ganjaran Perkhidmatan dan Gantian Cuti Rehat (GCR) layak dibayar pada tarikh persaraan manakala pencen perkhidmatan hanya akan dibayar pada umur layak menerimanya mengikut undang-undang pencen.
C) Persaraan Atas Kehendak Kerajaan

Persaraan Atas Kehendak Kerajaan adalah seperti berikut :

    1. Persaraan Atas Alasan Kepentingan Negara
      Yang di-Pertuan Agong boleh mengkehendaki seseorang anggota supaya bersara atas kepentingan Negara pada mana-mana peringkat umur.
      (Perenggan 11(a)(i) / 11(b)(i) Akta 227/ Subseksyen 11(a) Akta 239)

    2. Persaraan Demi Kepentingan Perkhidmatan Awam Atau Demi Kepentingan Perkhidmatan Pihak Berkuasa Berkanun Dan Pihak Berkuasa Tempatan
      Yang di-Pertuan Agong boleh mengkehendaki seseorang anggota supaya bersara atas kepentingan awam pada mana-mana peringkat umur.
      (Perenggan 11(b)(ii), Akta 227/ Subseksyen 11(b) Akta 239.)
    D) Persaraan Kerana Penswastaan

    Persaraan Kerana Penswastaan Agensi Awam Di Bawah Subseksyen 10(5)(b), 12, dan 12A Akta 227 atau Subseksyen 10(5)(b), 12 dan 13.

    • Dengan kelulusan Kerajaan, anggota berpencen boleh dibersarakan apabila sesebuah agensi awam atau sebahagian daripadanya diswastakan. Persaraannya adalah berasaskan pilihan yang dibuat melalui opsyen yang ditawarkan, iaitu sama ada :–

      1. bersara kerana jawatan yang dipegang dihapuskan di bawah Perenggan 10(5)(b) Akta 227 / 239 sekiranya menolak tawaran berkhidmat dengan syarikat; atau
      2. bersara pilihan di bawah Seksyen 12 Akta 227 / 239 sekiranya memenuhi syarat seperti Perenggan 15 dan menerima untuk berkhidmat dengan syarikat; atau
      3. bersara setelah dilantik untuk berkhidmat dengan syarikat di bawah Seksyen 12A Akta 227 atau Seksyen 13 Akta 239 sekiranya berumur kurang daripada 45 tahun bagi perempuan atau 50 tahun bagi lelaki pada tarikh kuat kuasa penswastaan dan menerima tawaran untuk berkhidmat dengan syarikat. Dalam hal ini mereka juga diberi pilihan seterusnya sama ada memilih:
        1. Skim A (Subseksyen 12A(2) / 13(2) Akta 227); atau
        2. Skim B (Subseksyen 12A(3) Akta 227 atau Seksyen 13(3) Akta 239).


    Rujukan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Persaraan dan Faedah Persaraan Versi 1.0 (2022) (https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PPSM/PP/pencen/)